SEKINCHAN, 14 Jun – Dalam usaha merancakkan sektor pelancongan luar bandar, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit 7, Baroh di sini memperkenalkan perkhidmatan sewaan kenderaan lasak ATV Sejati Madani sebagai satu tarikan baharu pelancong ke kawasan Sekinchan.
Inisiatif itu membolehkan pelawat menikmati keindahan kawasan sekitar termasuk Pantai Redang, sawah padi, dan kebun-kebun sekitar Sekinchan, sekali gus menyokong agenda pelancongan komuniti dan peningkatan ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan merangkap EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata langkah tersebut selari dengan sasaran 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Sekinchan merupakan kawasan pelancongan. Dengan adanya perkhidmatan ATV ini, pelancong boleh masuk ke bendang, ke pantai, ke kebun dan menikmati keindahan alam sambil menjana hasil untuk penduduk setempat serta menyumbang kepada tabung pembangunan kampung,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau turut menegaskan, program itu bukan sahaja memperkukuh industri pelancongan luar bandar, malah menyumbang secara langsung kepada ekonomi komuniti tempatan, khususnya ahli-ahli JPKK.
“Saya harap lebih ramai penduduk akan mengambil inspirasi daripada projek ini, agar pelancongan komuniti terus menjadi pemacu ekonomi luar bandar di Selangor,” katanya lagi.