(Blok bangunan asrama dijilat api/FOTO Bomba)
SEGAMAT, 2 Julai - Sebuah blok bangunan asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam di sini terbakar dalam satu kejadian pada awal pagi Ahad.
Kebakaran itu melibatkan blok asrama pelajar lelaki setinggi dua tingkat yang musnah terbakar 30 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 1.58 pagi.
"Seramai 20 anggota dari BBP Segamat dan BBP Bandar Baru Segamat dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta sebuah lori tangki dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan air tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran blok bangunan asrama tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya kebakaran itu tidak melibatkan mangsa walau pun ada beberapa pelajar lelaki di asrama pada waktu kejadian.
Kesemua pelajar dan penghuni telah diarahkan ke kantin asrama ketika kejadian oleh pihak bahagian pentadbiran sekolah.
Sementara itu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
"Operasi ditamatkan pada 4.03 pagi," katanya.
(Blok asrama pelajar lelaki SMK Seri Kenangan di Batu Anam, Segamat yang kebakaran awal pagi tadi/FOTO BOMBA)