JOHOR BAHRU, 6 November - Gangguan bekalan air di empat daerah di Johor sejak 31 Oktober lalu, kembali pulih.
Ia susulan pencemaran di Hulu Sungai Johor sebelum ini menjejaskan kira-kira 300,000 pengguna, yang mengalami gangguan bekalan air.
Tinjauan di sekitar Johor Bahru mendapati kebanyakan kawasan menerima bekalan air dengan stabil, manakala beberapa kediaman bertingkat mengalami kelewatan sebelum bekalan kembali sepenuhnya.
Penduduk dan peniaga menyambut baik apabila bekalan air kembali normal, selain berharap maklumat awal dapat dipertingkat bagi mengelak kekeliruan sekiranya gangguan berulang.
Peniaga Norsyazwana Jamaludin yang ditemui RTM berkata, berharap pihak berwajib dapat mengeluarkan notis awal berhubung gangguan berkenaan.
"Pada hari ini okey, lancar. Dua tiga hari lepas pun tak ada air, sekarang dah ada balik. Saya harap kalau air tak ada, memo lebih awal dapat dikeluarkan sebab tiba-tiba je tak ada air," katanya.
Bagi penduduk Muhammad Mifdhal Ijlal pula, dia mahu pihak berwajib dapat menyalurkan bantuan air lebih awal.
"Air kami baru dapat. Dari tingkat satu, dua, tiga. Harapan saya supaya pihak berwajib berikan kami akses air lebih awal supaya kami mudah jalankan kehidupan seharian macam biasa," katanya.
Seorang lagi penduduk Maulod Abdullah memaklumkan bahawa tekanan air di kediamannya masih rendah, terutama unit kediaman di tingkat atas.
"Tekanan air okey, tapi kalau duduk tingkat atas lambat dapat. Yang bawah dulu dapat, yang atas tak dapat. Kalau boleh, bila nak cuci tangki atau buat kerja penyelenggaraan, bagitahu awal supaya penduduk boleh bersedia," katanya.
Gangguan bekalan air itu dipercayai berpunca daripada pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor pada Jumaat lalu, menyebabkan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentikan.
Dalam pada itu, syarikat pengendali air, Ranhill SAJ menyambut baik cadangan kerajaan Johor untuk mewartakan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal bagi memastikan sumber air mentah selamat dan tidak tercemar.