(Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan misi
mencari menyelamat ditamatkan)
TUMPAT, 2 Julai- Dua lagi mangsa jatuh bot di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, Tumpat, Jumaat lalu ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata mayat Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan jam 8.15 pagi dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian.
Manakala mayat bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra pada jam 9.05 pagi.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan misi mencari menyelamat ditamatkan.
"Pagi ini kita jumpa kedua-dua mangsa iaitu yang pertama kita jumpa Amirullah Fitri terapung di tebing sungai dan yang kedua dijumpai di bawah jambatan di bahagian tengah-tengah sungai," kata Amran kepada media di sini.
Dalam kejadian 6.45 petang semalam, enjin bot dinaiki suami isteri, Nor Awadah Sulong, 30, dan Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, tiba-tiba mati menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.
Jenazah Wan Muhamad Najmi akan dikebumikan bersebelahan isterinya, Nor Awadah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai, Tumpat manakala jenazah Amrullah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Patek, Kadok, Kota Bharu.
(Asisten Komisioner Amran berkata dua lagi mangsa jatuh bot di Sungai Kelantan ditemukan lemas)