fb fb fb fb fb

Aspek nilai dan budaya sebagai asas kawal selia AI

Foto Hiasan /Foto Reuters

SINTOK, 3 April – Kawal selia terhadap teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) pada masa sekarang merupakan satu keperluan dengan aspek nilai dan budaya perlu menjadi antara elemen utama bagi penggubalan undang-undang berkaitan AI.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, berdasarkan perkembangan terkini, kebanyakan negara termasuk Malaysia telah melihat kepentingan undang-undang untuk mengawal selia AI.

“Seperti mana undang-undang berkaitan media, terdapat perbezaan bagi setiap negara yang disebabkan elemen nilai dan budaya yang diambil kira bagi melindungi rakyatnya. Begitu juga undang-undang berkaitan AI. Contoh jelas dapat dilihat apabila Indonesia mengharamkan perkhidmatan e-dagang di dalam aplikasi Tiktok bagi melindungi perniagaan kecil di Indonesia selain ia menyalahi undang-undang sedia ada republik berkenaan. Begitu juga di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai pengamal kebebasan media, turut mengambil tindakan terhadap Tiktok bukan disebabkan oleh aspek teknologi Tiktok tetapi disebabkan faktor budaya, nilai dan politik apabila Tiktok dikaitkan secara langsung dengan China.

“Betul, akan ada perbezaan undang-undang berkaitan AI dari satu negara ke satu negara. Tetapi, undang-undang itu biasanya ditunjangi oleh aspek nilai dan juga budaya sesebuah negara,” jelas Dr Mohd Khairie.

Baru-baru ini, Parlimen Eropah menjadi yang pertama meluluskan penggubalan undang-undang ke atas AI bagi mengurangkan risiko negatif AI, menangani diskriminasi dan meningkatkan ketelusan berkaitan teknologi AI serta menyediakan perlindungan menyeluruh kepada rakyatnya.

Bagi Malaysia pula, rangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Digital 2023 telah dibuat bagi menggerakkan inisiatif penggubalan undang-undang pada kadar segera.

RUU tersebut antara lain memberi tumpuan kepada perkembangan AI yang semakin maju serta dijangka terus berkembang pesat dan undang-undang berkenaan dilihat sebagai persiapan awal negara menangani impak dibawa oleh AI.

Antara lain, perkembangan AI dibimbangi membuka ruang kepada risiko pencerobohan data sensitif, akses tanpa kebenaran serta mengancam privasi pengguna.

Menurut beliau lagi, sangat penting ketika proses penggubalan dan pengumpulan data untuk mewujudkan undang-undang AI melibatkan banyak pihak terutama sektor akademik seperti yang dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia, WEF di Davos, Switzerland pada Januari lalu.

Siri perbincangan panel di Davos itu telah mencadangkan supaya ahli akademik dilibatkan lebih aktif di dalam proses memperluaskan rangka kerja dan kawal selia terhadap AI.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD