fb fb fb fb fb

Tanaman vanilla, ikon produk baharu ANGKASA

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

TEMERLOH, 3 April- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) akan menjadikan tanaman Vanilla Temerloh sebagai ikon produk baharu untuk diceburi oleh koperasi di Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata tanaman vanilla dilihat sangat berpotensi dalam menjana pulangan pendapatan tinggi kepada gerakan koperasi.

Menurutnya, Angkasa Negeri Pahang Tengah Temerloh telah diberi tanggungjawab berkolaborasi dengan Amani Temerloh sebagai perintis sekali gus menjadi model kepada projek berkenaan.

"ANGKASA akan terlibat secara langsung untuk produk koperasi ini. ANGKASA Pahang sedang dalam proses. Kita perlukan satu kawasan yang dimiliki oleh ANGKASA untuk dijadikan sebagai projek ladang percubaan."

"Di situ, untuk lawatan, latihan dan sebagainya. Kita berminat untuk mohon kepada kerajaan negeri bagi membantu untuk mendapatkan tanah yang sesuai," kata Datuk Seri Dr. Abdul Fattah kepada pemberita.

Jelasnya, vanilla asli mendapat permintaan tinggi di pasaran dengan nilai RM1,200 sekilo malah boleh mencecah RM2,000 sekilo kerana sangat diperlukan dalam pelbagai produk seperti ais krim, kosmetik dan produk hiliran.

Beliau yang juga Presiden Asean Co-Operative Organization (ACO) berkata demikian kepada pemberita di majlis  penyampaian sumbangan hari raya kepada pelajar tahfiz di Amani Vanilla Temerloh hari ini.

Amani Vanilla Temerloh yang diusahakan usahawan, M. Feisal Mohamad Norawi ternyata memberi aspirasi kepada ANGKASA supaya gerakan koperasi tidak ketinggalan turut menceburi tanaman vanilla.

Tegasnya, ANGKASA melihat vanilla sebagai satu tanaman yang amat berpotensi untuk memberi pulangan tinggi sekali gus memperkembangkan lagi perniagaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM