BAU, 1 November - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di Jalan Singai Musi-Bau, pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 7.40 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang terdiri daripada enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer dengan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS.
"Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan telah terbabas dan terbalik di dalam longkang di tepi jalan.
"Seorang lelaki yang terperangkap di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian," menurut JBPM Sarawak.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.