TAPAH, 1 November - Seorang lelaki tahun maut selepas tergelincir ke dalam kolam di kawasan Air Terjun Lata Kinjang, dekat Chenderiang, petang semalam.
Menurut Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.10 petang.
Operasi menyelamat melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam di kawasan tempat pemeriksaan 12, di bahagian paling atas air terjun, sebelum tidak sedarkan diri. Pasukan penyelamat perlu mendaki kira-kira satu kilometer ke bahagian puncak untuk sampai ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, rakan mangsa telah melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum menghubungi talian kecemasan.
Mangsa yang berusia 33 tahun kemudiannya dibawa turun oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.