fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Presiden China ucap tahniah

Foto PMO

GYEONGJU, 1 November - Malaysia menerima ucapan tahniah daripada Presiden China, Xi Jinping atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 selain merealisasi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Turut menzahirkan ucapan sama, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penghargaan itu disampaikan terus kepada beliau dalam pertemuan di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM), di sini.

"Ucapan tahniah itu dinyatakan terus kepada saya ketika pertemuan kami. Selain China dan AS, pemimpin negara-negara yang jauh seperti Mexico dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian berkenaan.

"Mereka turut kagum dengan keupayaan kita selaku Pengerusi dalam mengimbangi hubungan ASEAN dengan kekuatan dua kuasa besar berkenaan,” katanya.

Mengenai keupayaan mengimbangi hubungan ASEAN dengan kekuatan AS dan China, Perdana Menteri berkata kuncinya adalah pendekatan diplomasi berhemah dilaksana Malaysia selaku Pengerusi. 

Meskipun tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 sudah berakhir, Malaysia tetap memainkan peranan aktif dalam memperkasa masa depan blok 11 negara itu semasa AELM.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN