fb fb fb fb fb

Kepengerusian ASEAN buka peluang ekonomi baharu serantau

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 November - Kepengerusian ASEAN 2025 telah berjaya membuka peluang ekonomi baharu serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan serantau.

Menurut Penganalisis Politik Hubungan Antarabangsa, Mohamad Shafiq Sahruddin, peningkatan aktiviti ekonomi di sempadan seperti Kelantan dan Kedah jelas menunjukkan manfaat diplomasi serantau yang dijalankan Malaysia menerusi ASEAN.

"Kita dapat lihat dari segi aktiviti ekonomi yang lebih aktif, yang lebih menyumbang kepada pendapatan negara apabila masyarakat luar lebih mengenali Malaysia dan ini bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi juga memperkenalkan Malaysia dari segi budaya dan adat tradisinya ke mata dunia.

"Diplomasi senyap dan juga seni diplomasi yang dipamerkan telah dibuktikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai impak besar yang sangat positif bukan sahaja Malaysia malah kepada negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Kejayaan Malaysia menjemput pemimpin dunia dari China, Brazil dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa Malaysia membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

Pengiktirafan itu membolehkan Malaysia memperluas jaringan ekonomi dan diplomasi budaya, selaras dengan aspirasi membina komuniti ASEAN lebih inklusif dan makmur menjelang 2045.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI