KUALA LUMPUR, 24 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemimpin dan ahli koperasi perlu berintegriti serta amanah dalam menguruskan aset serta perolehan koperasi untuk kepentingan negara.
Seri Paduka juga bertitah baginda berasa bangga dengan pencapaian koperasi di negara ini dengan asetnya yang telah menjangkau RM150 bilion.
"Ini satu angka yang besar, harap ini dapat diurus tadbir dengan sebaik mungkin. Setiap ahli (koperasi) ini harus berintegriti, amanah supaya tidak lalai dalam urusan tadbir urus demi untuk kepentingan tujuh juta ahli yang sedia ada.
Ini satu amanah yang besar, dan jadikan koperasi ini satu koperasi yang boleh sama-sama dibangun dan memberi faedah kepada tujuh juta ahli,” titah Seri Paduka.
Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah koperasi akan dapat berdiri sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan, selain ahli koperasi perlu memberi panduan serta cara memajukan koperasi kepada kerajaan untuk kepentingan bersama bagi kepentingan negara.
Al-Sultan Abdullah bertitah kepimpinan koperasi perlu turun ke peringkat mukim ataupun kampung untuk memberi taklimat dan seterusnya menarik perhatian anak muda di kawasan kampung menjayakan aktiviti koperasi .
(Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah padaMajlis Santapan Malam
bersempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini, semalam/FOTO BERNAMA)
Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah masyarakat negara ini yang baru sahaja mahu bangkit daripada “perang” COVID-19, kini berdepan pula dengan isu tercetusnya konflik antara Ukraine dan Rusia yang sedikit sebanyak menghampakan momentum untuk negara bangkit semula.
"Jadi inilah satu masalah yang selalu kita hadapi, perlu ditangani oleh kita semua sebagai bangsa Malaysia dan Keluarga Malaysia, keluarga koperasi dan semoga kita dapat keluar daripada kemelut yang kita hadapi sekarang.
"Sebentar tadi beta bertanya soal masalah harga ayam, harga beras dan seterusnya dan Alhamdulillah pihak menteri sudahpun beri sedikit sebanyak maklumat tentang hal ini dan saya harap semua ahli-ahli (koperasi) ini dapat beri sokongan yang padu untuk kita sama-sama membantu pihak kerajaan mengatasi masalah yang dihadapi kini,” titah Seri Paduka.
Terdahulu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli ke majlis berkenaan diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2022 kepada Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Mohamad Ali Hasan dan Anugerah Koperasi Terbaik Negara 2022 kepada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB).
Sambutan Hari Koperasi pada tahun ini bertemakan "100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia" selaras dasar kerajaan semasa yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terus membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.