KUALA LUMPUR, 16 Jun- ASEAN telah memperkukuh kerjasama dalam menghadapi bencana rentas sempadan.
Ini menerusi pelaksanaan pelbagai mekanisme yang dapat meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas bagi meminimumkan impak bencana.
Perkara itu dinyatakan Ketua Laboratori, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Menurut beliau mekanisme tersebut antaranya menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) sejak 2022.
Ia meliputi usaha mengurangkan pembakaran terbuka yang sering menyumbang kepada jerebu, terutama ketika musim kering yang panjang akibat monsun.
“ASEAN ada mekanisme untuk menangani ataupun sekurang-kurangnya meminimalkan impak Monsun Barat Daya. Kita ada perjanjian mengenai pengurusan bencana dan juga tindakan responsif di peringkat ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam program Selamat Pagi Malaysia di Radio Televisyen Malaysia, Angkasapuri, hari ini.
Menurut beliau, mekanisme itu terbukti penting apabila fenomena cuaca seperti El Nino berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya, sekali gus menggandakan kesan seperti kemarau panjang dan peningkatan suhu ekstrem yang menjejaskan alam sekitar dan sumber air.
Beliau turut menyarankan agar Malaysia terus memperkukuhkan peranan sebagai peneraju dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Ini termasuk memanfaatkan platform sedia ada bagi menyuarakan keperluan dasar bersama berkaitan kelestarian alam sekitar.