fb fb fb fb fb

ASEAN perkukuh hubungan ekonomi dengan Switzerland

Liew Chin Tong bergambar bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) sebelum mempengerusikan Mesyuarat (sesi pagi) Dialog Terbuka AEM Troika Ke-4 bersama Switzerland sempena Mesyuarat AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di MITEC hari ini

KUALA LUMPUR, 26 September - ASEAN terus memperkukuh hubungan ekonomi dengan Switzerland menerusi Mesyuarat AEM Troika keempat yang berlangsung secara terbuka bersama delegasi negara berkenaan di ibu negara, hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Switzerland kekal sebagai antara pelabur utama di rantau ini, dengan kerjasama erat ASEAN-Switzerland terus diperkukuh melalui perjanjian perdagangan bebas.

“Switzerland terus menjadi salah satu pelabur utama di rantau ini. ASEAN dan Switzerland melalui kenyataan bersama turut menegaskan sokongan terhadap sistem berasaskan peraturan, khususnya sistem pelbagai hala. WTO perlu memainkan peranan lebih berkesan, malah agenda pembaharuan WTO amat penting,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata Switzerland merupakan rakan strategik yang konstruktif dan boleh dipercayai, dengan kerjasama semakin mendalam menerusi pelbagai inisiatif termasuk Deklarasi Bersama ASEAN-EFTA serta projek dalam bidang fasilitasi perdagangan, piawaian dan pembangunan lestari.

“Pada tahun 2024, nilai dagangan dua hala ASEAN-Switzerland berjumlah AS$28.33 bilion. Angka ini mencerminkan permintaan kukuh terhadap produk dan teknologi Switzerland dalam sektor bernilai tinggi di rantau ASEAN,” katanya.

Selain perdagangan, lebih 450,000 pelancong Switzerland berkunjung ke ASEAN tahun lalu, sekali gus mengukuhkan hubungan antara rakyat.

Menurut Liew, perbincangan kali ini turut menilai kemajuan kerjasama sedia ada, bertukar pandangan serta merangka hala tuju baharu dalam menghadapi ketidaktentuan global.

2609 AEM ASEAN SWITZERLAND PERKUKUHMenteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE