fb fb fb fb fb

Potensi besar kemajuan rantau ASEAN, antara perincian di WEF 2025

Foto FB Anwar Ibrahim

DAVOS, 23 Januari- ASEAN berpotensi sebagai rantau yang terus berkembang dengan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.

Ini melibatkan beberapa perkara asas lain termasuk pendidikan, teknologi makanan, transisi tenaga serta strategik Grid Kuasa ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai inisiatif dibangun bersama negara anggota menunjukkan kemajuan luar biasa terutama membabitkan ketersambungan serta digital untuk ASEAN.

"Potensi ASEAN sebagai rantau dengan hampir 700 juta penduduk, pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat, dan rantau yang lebih aman. Itu mempunyai potensi besar.

"Kita juga memberi tumpuan, selain perkara asas seperti pendidikan dan teknologi makanan, adalah transisi tenaga dengan grid dari Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, hingga ke Filipina.

"Ini adalah langkah yang agak berlainan, suatu kemajuan luar biasa dalam aspek connectivity dan digital untuk ASEAN," katanya pada sidang media di sini.

Anwar berada di Davos bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Mengulas mengenai penglibatan dalam WEF 2025, Anwar turut memperincikan keistimewaan serta pendirian ASEAN.

Selaku Pengerusi ASEAN, beliau berpendirian blok itu memberi fokus kepada ekonomi dan perdagangan.

Malah, memanfaatkan perdagangan intra-ASEAN sebagai kekuatan seiring dengan kemajuan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS. 

Dalam pada itu, Anwar berkata beberapa syarikat besar menunjukkan minat untuk melabur serta meneruskan pelaburan sedia ada ke Malaysia semasa mesyuarat perniagaan di sini.

Ini termasuk hasrat syarikat perlombongan logam Australia, Fortescue untuk melabur dalam sektor automotif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak.

"Di Bintulu, dan kerajaan Sarawak setuju pada prinsip, dan saya telah beri jaminan beberapa insentif dan dukungan supaya Bintulu jadi hab, selain langkah-langkah yang diambil sekarang," katanya di sini.

Mengulas lanjut, kolaborasi bersama syarikat pelabuhan Dubai, DP World juga berpotensi menjadikan Sepanggar, Sabah sebagai antara pelabuhan besar di rantau ini.

Sementara itu, Google akan terus melaksanakan program berskala besar dengan memberi manfaat kepada pemusatan data khusus di Johor, Pulau Pinang dan Perak.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM