fb fb fb fb fb

ASEAN, rakan dialog gesa gencatan senjata di Myanmar

ASEAN dan rakan dialog menegaskan pilihan raya di Myanmar bukan keutamaan ketika ini - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai - ASEAN dan rakan dialognya menegaskan bahawa mengadakan pilihan raya di Myanmar bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada keperluan mendesak untuk mencapai gencatan senjata kekal dan dialog inklusif bagi meredakan krisis yang sedang berlaku.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tumpuan kekal kepada pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, yang menyeru penamatan segera keganasan, penyampaian bantuan kemanusiaan dan dialog politik inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

“Kebimbangan kita adalah pilihan raya bukan keutamaan pada masa ini. Keutamaan kita ialah untuk mencapai gencatan senjata, meredakan ketegangan dan mengadakan dialog dengan semua pihak dan pemegang taruh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

1107 NSL AMM TOKMAT MYANMAR 3ASEAN menegaskan perbincangan pilihan raya hanya boleh diadakan selepas Myanmar melaksana 5PC. - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan 

Beliau berkata, 5PC yang diterima pakai ASEAN pada 2021 tidak menetapkan pilihan raya sebagai syarat, walaupun Myanmar baru-baru ini mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya.

Datuk Seri Mohamad menambah bahawa mengadakan pilihan raya tanpa penyertaan semua pihak hanya akan memburukkan lagi keadaan dan memanjangkan ketidakstabilan di rantau itu.

“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya secara separa. Ia tidak akan menyelesaikan masalah - malah hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN melalui setiap pengerusinya, telah melantik utusan khas untuk berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar serta menggesa komitmen gencatan senjata yang lebih meluas dan berterusan.

“Ia mesti diperluaskan ke seluruh Myanmar supaya rakyatnya dapat kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Pada 25 Mei, Mohamad berkata ASEAN telah menggesa Myanmar mematuhi sepenuhnya 5PC sebagai prasyarat untuk mengadakan sebarang pilihan raya di negara itu.

Beliau berkata ASEAN telah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan konsisten kepada Myanmar bahawa sebarang perbincangan mengenai pilihan raya hanya boleh diadakan selepas pelaksanaan sepenuhnya 5PC. - BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK