fb fb fb fb fb

Rapid On Demand tambah 150 van di Pulau Pinang tahun depan

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 11 Julai – Perkhidmatan van Rapid On Demand kendalian Rapid Bus Sdn Bhd terus menerima sambutan menggalakkan, dengan purata 2,500 penumpang sehari direkodkan di seluruh Pulau Pinang.

Rapid Bus Sdn Bhd merancang untuk menambah van bagi perkhidmatan Rapid Penang On-Demand berdasarkan permintaan daripada penumpang serta selaras dengan pembangunan laluan LRT di Pulau Pinang.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, sambutan luar jangka turut direkodkan di kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas, di mana tujuh van telah ditempatkan untuk memenuhi keperluan setempat.

“Keseluruhannya, 50 van Rapid Penang mencatat purata 2,500 penumpang sehari. Malah pernah mencecah 3,500 sehari. Jadi kita memang ada perancangan untuk tambah van di masa akan datang, termasuk di kawasan Bayan Lepas dan Bayan Baru,” katanya semasa program Media Ride-Along Rapid Penang On-Demand (ROD) di Sungai Dua.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin.

Perkhidmatan Rapid On Demand yang ditawarkan secara percuma, membolehkan warga emas, pekerja dan pelajar menikmati perjalanan lebih selesa setiap hari, dari pukul 6 pagi hingga 11 malam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE