TANAH MERAH, 11 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menafikan dakwaan kononnya Kelantan terus dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang dibangkitkan pemimpin PAS.
Menurut beliau, tuduhan sedemikian hanya bertujuan meniup sentimen negatif dalam kalangan rakyat dan tidak bersandarkan fakta.
“Mustahil ada bantuan yang disekat. Perdana Menteri setiap kali turun ke Kelantan, pasti ada peruntukan disalurkan. Malah, ada negeri bawah Kerajaan Perpaduan pun rasa terkilan kerana keutamaan turut diberi kepada Kelantan,” katanya.
Datuk Seri Dr. Zahid memberi contoh tindakan segera Perdana Menteri menyetujui bantuan ketika berlaku runtuhan cerun di negeri itu hasil permintaan pimpinan utama Kelantan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menasihati semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berasaskan andaian semata-mata tanpa merujuk maklumat tepat.
“Kalau tiada pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan, Kelantan akan lebih tercorot. Hakikatnya, banyak pembangunan di Kelantan berpunca daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan. Jangan racuni pemikiran rakyat dengan memburukkan fakta dan menyemai kebencian,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa di Facebook bahawa Kelantan adalah satu-satunya negeri tanpa lebuh raya seperti negeri lain. Mohd Amar turut mendakwa kerajaan Persekutuan menahan atau melengahkan projek pembangunan di negeri itu tanpa sebab yang adil.
Datuk Seri Dr. Zahid berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah 2025 pagi tadi.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Lebih 5,000 perwakilan, pemerhati dan jentera UMNO Bahagian Tanah Merah hadir memberikan sokongan kepada Presiden UMNO itu.