fb fb fb fb fb

SPRM kenal pasti aset Tun Daim, sekutu lebih RM3 bilion di 11 negara

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 11 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa bernilai lebih RM3 bilion di 11 buah negara yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Antaranya, di United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.

Menurut agensi rasuah itu, siasatan berprofil tinggi memberi tumpuan kepada tindakan penyitaan dan pelucuthakan aset yang tidak diisytiharkan.

Ini termasuk aset milik isteri Allahyarham, Toh Puan Na'imah Khalid, ahli keluarga serta rangkaian sekutunya.

"Maklumat siasatan terbaharu hasil kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) menunjukkan pemilikan aset bernilai tinggi di pelbagai lokasi," menurut kenyataan itu hari ini.

Perintah Halangan Terhadap Aset di United Kingdom

SPRM turut memperoleh Perintah Halangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lepas ke atas tujuh aset tak alih dan alih di United Kingdom bernilai dianggarkan RM758 juta.

Perintah itu termaktub di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses melalui Pejabat Peguam Negara.

"Manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan untuk memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan secara teratur dan berkesan," katanya.

Sitaan Aset di Singapura dan Jersey

Selain itu, permohonan perintah halangan turut difailkan melalui Mahkamah Tinggi terhadap aset di Singapura dan Jersey pada 19 Jun lalu.

Sitaan melibatkan 12 akaun bank dan pelaburan di Singapura bernilai RM540 juta, dan empat akaun bank serta pelaburan di Jersey bernilai RM1.15 bilion.

Bagi negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun, SPRM sedang mengemukakan permohonan mendapatkan maklumat lanjut menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara.

"Ini bagi membolehkan proses penyitaan dan pelucuthakan dijalankan secara sah.

Sitaan Menara Ilham di Malaysia

Di Malaysia pula, SPRM telah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun dan melaksanakan tindakan sitaan pada 5 Jun.

Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan turut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001.

Tambah agensi itu, keterangan juga telah dirakam daripada Toh Puan Na’imah dan anaknya Muhammed Amir Zainuddin pada 14 Jun berhubung pemilikan aset tidak diisytiharkan.

Manakala seorang lagi anak mereka, Muhammed Amin Zainuddin, yang kini berada di United Kingdom akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Ketiga-tiga mereka merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd yang memiliki majoriti kepentingan dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat kepada Menara Ilham," kata SPRM.

Dalam pada itu, sebanyak 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara mara dan sekutu rapat kepada Allahyarham Tun Daim dan isteri turut diberi Notis Pengisytiharan Harta bermula 10 Julai.

SPRM menegaskan bahawa semua tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan tiada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.

"SPRM komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik," tegas kenyataan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN