fb fb fb fb fb

Arkitek tempatan disaran manfaat teknologi secara inklusif, progresif

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Arkitek tempatan perlu memainkan peranan penting dalam memanfaatkan perkembangan teknologi secara inklusif dan progresif dalam sektor seni bina.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, golongan profesional tersebut perlu bersedia dan berada di barisan hadapan seiring arus perkembangan teknologi.

Ini memandangkan perubahan teknologi kini terlalu pantas dan memberi impak besar kepada semua sektor, termasuk seni bina.

"Penggunaan kecerdasan buatan (AI), alat digital dan teknologi visual 3D bakal menjadi elemen penting dalam cara baharu mempersembahkan projek seni bina. Kita perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan pantas.

"Penting untuk komuniti seni bina menerajui penggunaan teknologi agar masyarakat faham peranan arkitek dalam memperbaiki reka bentuk bandar dan seni bina negara," beliau berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) 2025 di ibu negara.

Tambahnya, mentransformasi teknologi dan seni bina bukan sahaja mampu mempertingkat kecekapan kerja, malah berupaya meningkatkan kualiti kehidupan dan pembangunan bandar secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Liew Chin Tong turut menggesa supaya penggunaan keluli tempatan diperkasa dalam industri seni bina. Ini selaras dengan usaha negara menuju peralihan kepada tenaga yang lebih lestari.

"Saya berharap Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dapat memimpin lebih banyak perbincangan mengenai kesan teknologi dan tenaga terhadap reka bentuk bangunan serta menggalakkan pembangunan bandar yang lebih mampan.

"Anda bukan hanya perancang bandar, tetapi juga pemacu kepada bentuk bandar masa depan serta hala tuju pembangunan masyarakat ," katanya.

TETITIA YUSOFF