fb fb fb fb fb

Kilang simpanan lori dan minyak terbakar, HAZMAT pantau kualiti udara

Sebuah kilang penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri, di Johor Bahru musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari semalam / Foto Ihsan JBPM

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Sebuah kilang penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah hari semalam.

Kebakaran turut merebak ke kawasan simpanan minyak terpakai akibat tiupan angin kencang.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba I Zaipulbahri Mat Rusok memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.00 tengah hari.

Seramai 37 anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat telah dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran.

"Operasi pemadaman di kawasan divisyen satu selesai sepenuhnya pada pukul 4.00 pagi tadi. Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) JBPM Johor turut mengambil sampel bahan bagi tujuan bacaan kualiti udara. Hasil analisis mendapati terdapat kandungan sulfur di udara, namun berada pada paras tidak membimbangkan," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, operasi pemadaman di kawasan divisyen dua masih diteruskan pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor turut hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan kualiti udara, termasuk di beberapa kawasan sekitar seperti Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri, Masai dan Pos Kawalan Bomba.

Setakat ini, bacaan kualiti udara di kawasan yang dipantau didapati masih berada pada tahap selamat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN