fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi luas perdagangan dua hala dengan Uzbekistan

Ilham Tuah Ilias / Foto Ihsan BERNAMA

TASHKENT, 21 Jun- Malaysia berpotensi meluaskan perdagangan dua hala dengan Uzbekistan melalui beberapa sektor yang sedang membangun di republik berkenaan.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Ilham Tuah Ilias, ia termasuk eksport minyak sawit keluaran Malaysia.

Bagaimanapun perbincangan dan kerjasama perlu dilaksana bagi mencari penyelesaian susulan pelaksanaan cukai 5 peratus oleh Uzbekistan bagi eksport minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.

"Tetapi ini adalah perlu diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan antara Malaysia dan Uzbekistan untuk meneruskan dan mencari jalan persamaan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Selain itu, kita juga perlu terus mendidik rakyat Uzbekistan bahawa minyak sawit sebenarnya sihat dan tidak seperti dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ia tidak sihat," katanya di Kedutaan Besar Malaysia di Uzbekistan.

Selain minyak sawit, beberapa lagi peluang perdagangan berpotensi boleh dilaksana Malaysia dan Uzbekistan antaranya sektor tekstil dan mineral, perbankan Islam serta teknologi hijau.

Pelancongan juga boleh ditambah baik memandangkan ketika ini ramai pelancong dari Malaysia berkunjung ke Uzbekistan, sekali gus mempromosi sektor pelancongan negara.

Tahun lalu sahaja lebih 15,000 pelancong dari Uzbekistan melawat Malaysia, meningkat berbanding tahun sebelumnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM