fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara di Bangunan Perak Darul Ridzuan Pada Sabtu/Foto RTM

IPOH, 17 Ogos – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, malam tadi.

Ketibaan baginda berdua pada pukul 8.30 malam disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri itu melibatkan penyertaan seramai 181,223 murid di seluruh negeri merangkumi 19 kategori pertandingan.

Antara pertandingan yang dipertandingkan termasuk pidato, penulisan esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mengarang sajak, melukis poster, melukis karikatur, bicara berirama, sebutan korus dan koir.

Inisiatif itu bertujuan membentuk jati diri rakyat Malaysia yang beridentiti nasional serta memperkukuhkan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang acara pidato, bicara berirama, sebutan korus dan koir bagi peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas.

Tuanku Zara pula berkenan menyampaikan hadiah bagi kategori pertandingan penulisan esei, mengarang sajak, melukis poster dan melukis karikatur.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD