fb fb fb fb fb

15,000 Jalur Gemilang diagih secara percuma di Kelantan

Pengagihan Jalur Gemilang dilakukan di Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Gua Musang dan Pasir Puteh

GUA MUSANG, 17 Ogos - Kira-kira 15,000 Jalur Gemilang diagihkan secara percuma kepada penduduk serta pengguna jalan raya di lima lokasi berasingan di Kelantan sebagai usaha memberi kesedaran untuk mengibarkan bendera Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ke-68, tahun ini.

Pengerusi Gabungan NGO Setempat Negeri Kelantan, Mohd Rohimi Ibrahim berkata, sebanyak RM50,000 diperuntukkan pada tahun ini bagi pembelian Jalur Gemilang, serta mengadakan jamuan makan dan aktiviti kebudayaan kepada penduduk di lokasi-lokasi terpilih.

Menurut beliau, pengagihan Jalur Gemilang telah dilakukan di Pasir Mas sejak awal bulan ini, seterusnya di Machang, Kota Bharu, Gua Musang dan lokasi terakhir di Pasir Puteh.

"Inisiatif ini bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya penduduk negeri Kelantan. Pengagihan Jalur Gemilang secara percuma ini dilakukan selepas mengambil kira keluhan orang ramai yang sukar mendapatkan bendera di kawasan mereka," katanya.

Sementara itu, rata-rata pengguna jalan raya berharap usaha mengagihkan Jalur Gemilang secara sukarela dapat dijadikan teladan kepada masyarakat lain.

"Memang kita sebagai rakyat Malaysia mesti mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan semangat kemerdekaan. Usaha yang dilakukan ini boleh dipuji. Kita harap ramai boleh buat macam yang dilakukan ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia agar mengibarkan Jalur Gemilang," menurut pengguna jalan raya, Anuar Ibrahim.

"Pendapat saya, masih ramai belum kibar Jalur Gemilang. Dengan masa masih berbaki lebih kurang dua minggu untuk kemuncak 31 Ogos, kita harap rakyat negeri Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia boleh kibarkan Jalur Gemilang bukan setakat di rumah, bahkan pada kereta, pejabat, kedai dan premis biar nampak kehangatan bulan kemerdekaan," kata seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd Zain Hussin.

Kedua-dua mereka ditemui RTM selepas program pengagihan Jalur Gemilang secara percuma kepada pengguna jalan raya dan penduduk di Bandar Utama di sini.

MASNIZA AWANG KECHIK