JOHOR BAHRU, 17 Ogos- Sebanyak 106 notis kesalahan melibatkan nilai kompaun RM26,300 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam Op Selamat Paru-Paru (PaPa) pada 14 dan 15 Ogos lalu.
Pengarah Kesihatan, Dr. Mohtar Pungut dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 61 adalah notis kesalahan merokok di kawasan larangan termasuk 39 kesalahan merokok di tempat makan.
Operasi turut mengesan satu kesalahan merokok membabitkan orang belum dewasa.
"44 notis dikeluarkan ke atas pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok, menyediakan kemudahan untuk merokok dan tidak menghalang individu daripada merokok di premis," kata kenyataan itu.
Penguatkuasaan dijalankan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
106 notis kesalahan merokok dikeluarkan dalam Op Selamat PaPa - JKNJ

powered by social2s