fb fb fb fb fb

APR pergiat inisiatif perkasakan pengundi belia

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 November- Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melalui Akademi Pilihanraya (APR) terus mempergiatkan inisiatif memperkasakan program pendidikan pengundi dalam kalangan belia

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, matlamat program berkenaan adalah untuk menggalakkan golongan belia agar terlibat secara langsung dengan proses demokrasi di negara ini.

Menurut Ramkarpal, antara program yang giat dilaksanakan ialah kempen 'Jom Mengundi' melalui pemasangan poster dan video, penyebaran berkaitan proses penting pilihan raya serta liputan langsung melalui platform media sosial

"APR juga mengambil inisiatif perkongsian maklumat berkaitan proses pilihan raya  yang ringkas dan mudah difahami.

"Perkongsian ini dilaksanakan secara dalam talian melalui platform media sosial yang menyasarkan golongan belia dan anak muda.

"Konsep pendekatan kepada anak muda adalah berdasarkan kecenderungan anak muda yang berkaitan dengan aplikasi media sosial pengaruh rakan sebaya dan penglibatan mereka  dalam proses pilihanraya. Oleh itu, usaha dan pendidikan pengundi muda yang dijalankan oleh SPR meliputi aspek ini", katanya ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim di Parlimen

Tambah Ramkarpal, sebagai usaha berterusan , SPR telah menandatangani MOU serta Nota kerjasama dengan 22 buah universiti awam, politeknik dan Kolej Komuniti  bagi memberi kefahaman  terhadap proses pilihanraya terutama kepada golongan muda.

Sepanjang  tahun 2023 , sebanyak 233 program pendidikan pengundi telah dilaksanakan APR dengan penglibatan penyertaan seramai 66 ribu 926 peserta dari pelbagai Institusi Pendidikan, Kementerian serta Badan Bukan Kerajaan, NGO.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Klang, V.Ganabatirau, Ramkarpal menjelaskan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak sedang berjalan.

Tambah Ramkarpal, kajian persempadanan semula itu akan bermula di Sabah dan Semenanjung pada 2025 dan 2026 dan akan dilaksanakan SPR bagi tempoh dua tahun.

"Selepas tempoh itu laporan yang mengandungi dapatan kajian SPR akan dikemukakan kepada PM.

"Sepanjang proses berkenaan, banyak faktor akan diambil kira dalam kajian tersebut termasuk perbandingan kawasan contohnya, kawasan seperti Bangi yang mempunyai 300,000 penduduk berbanding Putrajaya yang mungkin mempunyai 30,000 atau 40,000 penduduk", kata Ramkarpal ketika menjawab soalan tambahan V.Ganabatirau yang ingin mengetahui prinsip asas bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD