fb fb fb fb fb

APMM tahan tiga lelaki cuba seludup diesel ke Thailand

(FOTO FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia)

KUALA PERLIS, 6 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter diesel bernilai RM16,000 ke Thailand.

Selain itu, seorang tekong dan dua awak-awak kesemuanya warga tempatan berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun turut ditahan.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, kejayaan itu hasil penahanan sebuah bot nelayan Kelas C dengan nombor pendaftaran KF 2420 sekitar jam 8.13 malam tadi di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis.

Tindakan dibuat susulan  maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik, Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP). 

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati bot tersebut telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi. 

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi. 

Bot hasil tangkapan dan ketiga-tiga suspek dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut. 
 
Orang ramai dan persatuan nelayan diseru untuk  memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi. 

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162.


(FOTO FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia)

Media Baharu