fb fb fb fb fb

APMM Perlis tahan enam nelayan tangkap siput secara haram

KUALA PERLIS, 12 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis menahan tiga bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tiga lokasi berbeza kerana disyaki menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis.

Ketiga-tiga tangkapan berkenaan dibuat pada kedudukan kira-kira 0.78, 1.04 dan 0.65 batu nautika barat pantai Kuala Perlis membabitkan tiga tekong dan tiga kru kira-kira pukul 4.13 hingga 4.37 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 21 hingga 47 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Perlis dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan."

"Antaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," kata Mohd Hashim ketika ditanya pemberita RTM.

(APMM Kuala Perlis berjaya tahan tiga bot fiber yang disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Perikanan 1985)

Turut dirampas dua set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM1,000 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 80 kilogram ketika pemeriksaan dilakukan.

Kesemua yang ditahan serta hasil tangkapan siput serta bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis.

Media Baharu