fb fb fb fb fb

APM ada kuasa arahkan penduduk terjejas banjir berpindah ke PPS - Armizan

(FOTO HIASAN)

TEMERLOH, 13 Disember - Angkatan Pertahanan Awam (APM) mempunyai kuasa untuk menasihati dan mengarahkan penduduk terjejas banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu termaktub berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221).

Katanya, berdasarkan akta tersebut APM mempunyai kuasa mengarahkan penduduk yang terjejas banjir untuk berpindah ke PPS dan keputusan yang dibuat berdasarkan faktor keselamatan.

(Datuk Armizan Mohd Ali)

“Maksudnya sejak 2016 sudah ada peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa kepada APM untuk mewajibkan penduduk berpindah kerana setakat tahun ini, masih terdapat insiden orang awam tidak mematuhi arahan tersebut.

“Tindakan boleh diambil jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut," katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, di sini.

Tambah Armizan, sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada awal November lalu, semua negeri yang terkesan setakat ini iaitu Perak, Johor,Kelantan,Terengganu dan Pahang telah dapat menguruskan keadaan dengan baik.

Media Baharu