fb fb fb fb fb

APM Kedah siap sedia hadapi banjir ekoran hujan lebat

(Kawasan perumahan di Langgar terdapat peningkatan paras air/ Foto APM Kedah)

ALOR SETAR, 12 Julai- Pemantauan di seluruh daerah di Kedah sedang dilakukan susulan hujan lebat.

Namun sehingga kini, keadaan masih terkawal dan paras air sungai di semua tempat masih berada di tahap waspada.

Demikian menurut Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko iaitu berhampiran sungai dan rendah supaya lebih berhati-hati dan segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa jika keadaan hujan lebat berterusan.

Berdasarkan pemantauan paras air naik di daerah Kota Setar manakala daerah lain masih dalam pemantauan terutama di Kubang Pasu, Bandar Baharu, Baling dan Kulim manakala Yan dalam keadaan baik.

Sementara itu antara kawasan yang terlibat dinaiki air di kawasan perparitan berikutan hujan sejak 7.30 pagi, melibatkan kawasan perumahan di Langgar.

(Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko iaitu berhampiran sungai dan rendah supaya lebih berhati-hati dan segera berpindah
sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa jika keadaan hujan lebat berterusan/ Foto APM Kedah)

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (Pertahanan Awam ) Norlizawati Ismail berkata, pemantauan masih dilakukan sejak jam 1 tengahari tadi di kawasan yang sudah dinaiki air.

Katanya paras air di Sungai Gunung dalam paras terkawal namun, pihak APM masih membuat pemantauan ketika ini dan dalam keadaan berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyenaraikan beberapa lokasi berlakunya banjir air pasang di negeri ini sekiranya berlaku pertembungan air pasang, angin kencang dan hujan lebat serentak

Selain itu, paras air pasang di jeti Kuala Kedah dijangka meningkat pada 2.9 meter bermula Khamis, Jumaat dan Sabtu ini

Media Baharu