fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan hormat Wang Yi di Wisma Putra

(Foto Pejabat Perdana Menteri)

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Wisma Putra.

Kunjungan Menteri Luar China itu dilihat sebagai langkah positif ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-China.

Menerusi Facebook rasmi Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan, sesi perbincangan selama satu jam diadakan melibatkan hubungan dua hala serta kepentingan dalam pembangunan ekonomi digital.

Wang Yi telah menyatakan Kerajaan China terus memberikan keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia.

(Pelbagai isu yang disuarakan termasuklah mengenai konflik antara negara yang perlu diselesaikan melalui meja rundingan/ Foto Pejabat Perdana Menteri)

Ini meliputi menangani cabaran semasa yang dihadapi kedua-dua negara seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas peluang yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara Malaysia.

Ini termasuk pelaksanaan projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

Datuk Seri Ismail Sabri turut menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan.

Datuk Seri Ismail Sabri menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan Premier Li.

Dalam masa sama, Kerajaan juga mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif Kerajaan Malaysia.

Media Baharu