BANGI, 20 September - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan seramai 900 anggota di Sabah berbanding 300 anggota pada keadaan biasa, bagi menghadapi situasi banjir yang sedang melanda negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, jumlah berkenaan menunjukkan kesiapsiagaan tinggi pasukan pertahanan awam dalam menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas banjir serta menangani kejadian tanah runtuh dan jalan putus di beberapa lokasi di negeri itu.
"Contoh kalau katakan di Sabah, satu hari tu kita setkan 900 orang anggota. Dalam keadaan biasa, kalau katakan untuk MERS 999 ataupun yang 24/7 punya tugas APM macam insiden kemalangan ataupun tangkap ular tu, bukan 300 di Sabah. Tapi pada ketika ini kita tingkatkan kepada 900 individu lah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang merasmikan Majlis Sambutan 20 Tahun ALPHA di sini hari ini.
Setakat ini jumlah penduduk terjejas banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah berkurangan kepada bawah 1,500 orang, dengan ramai sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
"Alhamdulillah semakin berkurang dan jumlah terkini tidak lebih daripada 1,500 orang penduduk terjejas di PPS.
"Cuma di Sabah ini perbezaan dia kebanyakannya tanah runtuh dan juga jalan putus. Itu yang melibatkan agensi-agensi teknikal JKR turun, geologi turun dan sebagainya untuk membantu dengan cepat dan segera," katanya lagi.
Kesiapsiagaan APM turut diperkukuh dengan penugasan 24 jam, termasuk penilaian semasa setiap 48 hingga 72 jam mengikut perkembangan insiden.
Pendekatan itu membolehkan pasukan digerakkan segera apabila berlaku bencana.
Selain Sabah, APM di negeri-negeri lain juga bersedia digerakkan pada bila-bila masa berdepan kemungkinan banjir berikutan peralihan monsun.