fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026: SERI gesa kenaikan cukai rokok

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September - Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) menggesa kerajaan melaksanakan segera kenaikan cukai rokok dalam Belanjawan 2026, susulan lebih 27,200 kematian setiap tahun berpunca daripada penggunaan tembakau di negara ini.

Penyelidik Kanan SERI, Muhammad Daniel Kittu berkata kelewatan pelaksanaan tersebut akan meningkatkan risiko jumlah kematian, menarik belia lebih ramai merokok serta membebankan ekonomi dan sistem kesihatan.

''Setiap tahun tanpa tindakan cukai bermaksud lebih banyak kematian, lebih ramai golongan muda mula merokok, hasil kerajaan yang hilang, serta beban yang semakin meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi secara keseluruhan", katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya cukai tembakau di Malaysia kekal pada tahap sama sejak sedekad lalu, menjadikan rokok lebih mampu milik berbanding pendapatan per kapita dan kadar inflasi yang meningkat sepanjang tempoh tersebut.

Tambahnya, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, cukai tembakau terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar merokok, selain meningkatkan hasil kerajaan tanpa memberi kesan ketara terhadap pasaran rokok haram.

''Hasil tambahan daripada cukai rokok mampu menampung usaha penguatkuasaan itu. Sebagai contoh, kenaikan RM5 bagi sekotak rokok berpotensi menjana sehingga RM1.2 bilion setahun berdasarkan anggaran daripada Tobacco Atlas,'' katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan, kerajaan berhasrat memperluas pelaksanaan cukai kesihatan termasuk tembakau.

Manakala Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan, pembentangan memorandum penuh berhubung cadangan pengharaman rokok elektronik atau vape kepada Jemaah Menteri dijadualkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

ROSLINA BINTI DIN