BANGI, 20 September - Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan tekad baharu untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia celik pertahanan awam menjelang tahun 2045.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, sehingga kini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberi latihan kepada lebih 5.6 juta orang, iaitu 26.7 peratus daripada populasi negara.
ALPHA juga telah melatih seramai 50, 038 orang anggota, penjawat awam, dan masyarakat dalam pelbagai bidang berkaitan kecemasan, keselamatan dan kesiapsiagaan bencana sejak penubuhannya pada tahun 2005.
"Target kita pada 2045, setiap rumah ada satu responder maksudnya orang yang ada pengalaman ataupun ada pengetahuan tentang ilmu-ilmu kecemasan lah. Bagi saya untuk ALPHA target dia pun bukan setakat 58,000, jumlah ini boleh ditingkatkan lagi untuk 2045 kemungkinan dalam lingkungan 100,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan 20 Tahun ALPHA di sini hari ini.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk karnival termasuk pameran, sukan dan program latihan awam.
Dalam oada itu, kerajaan komited menyokong pembangunan ALPHA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa dan memastikan kerjasama rentas agensi keselamatan diperkukuh.
"APM banyak bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti contohnya pihak perubatan sendiri⦠kerjasama dengan bomba, kerjasama dengan polis dalam usaha kita memastikan koordinasi apabila berlaku kecemasan, apabila berlaku bencana dan sebagainya. Perkhidmatan itu dapat dimaksimalkan sebaik yang boleh," ujarnya.
Kerjasama itu turut diperkasakan di peringkat komuniti dengan latihan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), selain jaringan sukarelawan bawah agensi-agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam tempoh 20 tahun penubuhannya, ALPHA telah melatih lebih 58,000 anggota, penjawat awam dan orang awam dalam pelbagai aspek kesiapsiagaan.
Dengan aspirasi Malaysia MADANI, ALPHA disasar menjadi pemangkin utama dalam melahirkan lebih ramai tenaga terlatih yang bersedia menjadi barisan hadapan negara dalam apa jua krisis pada masa depan.