fb fb fb fb fb

Aplikasi Smart Halal dan Verify Halal ditambah baik - JAKIM

PUTRAJAYA, 30 September- Aplikasi telefon pintar, SmartHalal dan Verify Halal akan ditambah baik bagi memudahkan pengguna menyemak status halal sesebuah produk dengan lebih mudah bagi mengelak keraguan.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir, aplikasi ini akan menyediakan jawapan kepada sebarang permasalahan yang menggugat keyakinan masyarakat termasuk penjelasan isu-isu yang tular di media sosial.

"Penguatkuasaan memang ada, Cuma kita mengingatkan para warganet supaya lebih berhati-hati. Di pihak pengguna mereka nak perakuan yang sah manakala di pihak yang mengeluar kadang-kadang mereka gunakan untuk melaris dan memasarkan produk berkenaan.

Jadi untuk memastikan perkara ini, pengguna sendiri kena menggunakan aplikasi tersebut untuk mencari atau pun mendapatkan perakuan bahawa produk berkenaan mendapat persijilan halal yang sah," kata Bukhari kepada RTM pada Simposium Pemerkasaan Aplikasi Halal Malaysia, di sini.


(Logo aplikasi Smart Halal)

Menurutnya, pembinaan infrasturuktur digital ini juga dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang lestari di samping meningkatkan kemampuan pengurusan pensijilan halal Malaysia.

Aplikasi SmartHalal dan Verify Halal ini telah memperoleh anugerah kategori Inovasi Halal Terbaik 2020 (Best Halal Innovation 2020) oleh Standards and Metrology Institute For Islamic Countries (SMICC).

Menurut Ketua Penyedia Aplikasi Verify Halal, Jabal Abdul Rahim, dengan kejayaan ini, integriti industri halal Malaysia lebih terjaga dan selamat dari hantaran-hantaran yang tidak sah tentang ketulenan halal termasuk isu-isu yang tular di media sosial.

"Kita juga bekerjasama dengan badan Islam di luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Jadi, produk ini akan berada juga di aplikasi Verify Halal.

Contoh, kalau kita makan Maggi, mungkin kita tahulah Malaysia halal. Mungkin ada jenama luar negara yang susah kita nak dapat sijil halal, boleh juga semak di aplikasi Verify Halal," kata Jabal kepada RTM.

Media Baharu