fb fb fb fb fb

Aplikasi RIMS, tingkat pengeluaran padi negara - Ronald

(FOTO BERNAMA)

SERDANG, 7 Ogos - Komitmen bagi menggalakkan pengaplikasian pertanian moden dalam kalangan petani dizahirkan menerusi pelancaran aplikasi Rice Information Management System (RIMS).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata aplikasi tersebut selaras dengan objektif Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ke arah mempertingkat tahap sara diri (SSL) beras negara sehingga 75 peratus menjelang tahun 2025.

(Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee)

"Ladang yang kita buat awal sejak tahun 2021 ini menunjukkan potensi, mengangkat industri pengeluaran padi bagi mencapai 75 peratus SSL negara yg disasarkan.

"Ini dibuktikan menerusi pencapaian salah sebuah ladang yang asalnya hanya mengeluarkan 3.2 tan kini mampu mencapai sehingga 10 tan menerusi pengaplikasian teknologi moden dalam pengurusan ladang padi negara kita," katanya.

Datuk Seri Dr Ronald ditemui selepas Majlis Perasmian Laman Padi dan Pelancaran Logo Smart SBB dan Aplikasi RIMS, Ladang '57 Beras Wangi Horeca serta 3FR SOP Manual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini.

RIMS bertujuan meningkatkan hasil dan mengurangkan kos penanaman padi.

Ia merupakan satu sistem sokongan keputusan digital yang menggunakan teknologi, kecerdasan buatan, data raya dan teknologi sensor atau satelit untuk memberikan nasihat masa nyata, ramalan serta preskripsi industri penanaman padi.

Media Baharu