IPOH, 4 Jun – Kerajaan Negeri Perak hari ini melancarkan dua dokumen penting, iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Perak 2040, sebagai pemacu utama agenda transformasi digital negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedua-dua pelan itu berteraskan aspirasi Perak Sejahtera 2030 demi membangunkan sebuah negeri yang lebih cekap, mampan dan berdaya saing.
Jelas beliau, Pelan Ekonomi Digital memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, tadbir urus awam secara digital, perniagaan berdaya saing serta pemerkasaan masyarakat melalui teknologi.
Tegasnya, lima projek pemangkin dikenal pasti sebagai keutamaan, antaranya peluasan capaian JENDELA, penggunaan satelit orbit rendah, serta penubuhan Smart Perak Research and Innovation Centre (SPRIN) dan AI Academy.
Sementara itu, Blueprint Bandar Pintar Perak 2040 menggariskan tujuh komponen utama, 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif pembangunan. Ia akan dilaksanakan secara berfasa dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai perintis, iaitu Ipoh, Teluk Intan, Manjung dan Kampar.
“Pelaksanaan blueprint ini akan memacu pembangunan bandar yang lebih inklusif, responsif dan mampan, berteraskan pendekatan people-centric smart city, iaitu pembangunan bandar yang berpaksikan keperluan dan kesejahteraan rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran di Casuarina Meru, di sini.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Digital Negeri Perak dan Jawatankuasa Pemandu sebagai badan penyelaras bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan ini lebih tersusun dan berimpak tinggi.