KUALA LUMPUR, 4 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di sini hari ini.
Majlis Jamuan Teh Diraja berkenaan merupakan acara diatur khas bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; serta anakanda-anakanda Seri Paduka Baginda.
Majlis yang bermula pada 3 petang itu juga dihadiri menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Parlimen, duta-duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berkenan beramah mesra bersama 1,200 para tetamu dari pelbagai latar belakang masyarakat.
Antara tetamu yang hadir termasuk masyarakat Orang Asli, tokoh guru, dua pelajar Malaysia dari Universiti Harvard, atlet Olimpik, orang kurang upaya (OKU), bekas anggota polis dan tentera, tokoh seni budaya serta ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, tidak dapat hadir atas urusan rasmi, namun berkenan menyampaikan salam hormat kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh tetamu yang hadir.
Majlis turut disemarakkan dengan persembahan muzik oleh Kumpulan Kugiran DBKL dan acara istimewa memotong kek istiadat diraja, sebagai simbolik sambutan ulang tahun keputeraan Baginda.