fb fb fb fb fb

Kerajaan dengar rintihan Keluarga Malaysia di Sarawak

KUCHING, 7 Ogos - Kerajaan sentiasa mendengar rintihan Keluarga Malaysia khususnya masalah bekalan elektrik di negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, kerajaan membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025.

"Empangan Baleh berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan tiga ribu 500 peluang pekerjaan setempat," katanya pada Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga komited menyelesaikan isu banjir dengan peruntukan RM15 bilion bagi tempoh lapan tahun bermula 2023 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Ismail yakin Sarawak dapat mencapai sasarannya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya di samping keyakinan ini, Kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan Sarawak, jelas terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rancangan boleh pinda (Rolling Plan) Kedua tahun 2022 RMKe-12.

"Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan, peruntukan RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMK-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak," ucap beliau.

Katanya, daripada 409 projek pembangunan baharu dan sambungan, 111 projek kini siap sepenuhnya, 109 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 projek berstatus prabina.

"Peruntukan RM2.16 bilion turut disediakan bagi menampung 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif," katanya.

Dalam majlis itu, sembilan penerima muda yang telah kehilangan sama ada ibu atau bapa mereka, yang meninggal dunia kerana COVID-19 menerima bantuan di bawah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Sementara itu, beliau turut menyampaikan bantuan komuter riba inisiatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kepada lima pelajar universiti daripada kalangan keluarga B40 .

Turut hadir pada majlis itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beberapa menteri kabinet persekutuan serta negeri.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Sarawak yang melabuhkan tirai hari ini telah berjaya menarik lebih 80,000 pengunjung sejak bermula Jumaat lepas.

Media Baharu