fb fb fb fb fb

Maritim Johor siap siaga tangani isu keselamatan perairan negara

KOTA TINGGI, 7 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) negeri Johor akan memastikan semua operasi dilaksana dapat menangani isu keselamatan perairan negara termasuk penyeludupan diesel.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata keanggotaan pasukannya mencukupi untuk melaksanakan operasi.

Secara keseluruhan, 300 pegawai dan anggota maritim ditugaskan di perairan negeri ini.

Selain penyeludupan minyak diesel, operasi turut fokus kepada penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah dan kapal berlabuh secara haram.

"Penyeludupan minyak diesel adalah merupakan antara sasaran kita juga dalam usaha penguatkuasaan terutama bagi mengelakkan berlakunya penyeludupan keluar minyak daripada negara kita.

"Dan tindakan ini kita teruskan dengan melaksanakan risikan dan pemantauan berterusan, antara fokus kita juga adalah penyeludupan masuk PATI ke dalam negara kita," katanya.

(Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria)

Beliau ditemui pemberita selepas Hari Bersama Media Maritim Malaysia negeri Johor, di sini hari ini.

Pada program itu, turut diadakan ujian kemahiran dan latihan menembak senjata kecil serta pertandingan menembak antara jabatan-jabatan dan media Johor.

48 orang terdiri daripada pengarah-pengarah jabatan, media serta pegawai dan anggota maritim terlibat pertandingan tersebut.

Media Baharu