fb fb fb fb fb

80 jemaah uzur tunai wukuf esok

Foto RTM

MEKAH, 4 Jun – Seramai 80 jemaah haji Malaysia yang sakit dan uzur akan dibawa menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi Program Safari Wukuf yang bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata lapan bas khas yang diubah suai seperti katil digunakan bagi membawa jemaah berkenaan ke Arafah.

Katanya, inisiatif tahunan itu dilaksana bagi memastikan semua jemaah, termasuk yang tidak sihat, tetap dapat menyempurnakan rukun haji kedua dalam keadaan selesa dan selamat.

“Lapan buah bas khas diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil untuk membawa jemaah haji ke Padang Arafah,” katanya ketika ditemui di Abraj Al-Tayseer, di sini.

Program Safari Wukuf dikendalikan Tabung Haji dengan kerjasama pasukan perubatan, bagi memberi ruang kepada jemaah yang uzur menunaikan ibadah wukuf mengikut syarat sah haji yang ditetapkan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD