fb fb fb fb fb

Isu pencen pesara ATM: Mahkamah Rayuan sahkan tiada pelanggaran perlembagaan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 4 Jun – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Kerajaan Persekutuan dan tiga pihak lain bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu pelarasan pencen.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah bersama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim memutuskan plaintif gagal membuktikan berlaku pelanggaran Perlembagaan Persekutuan oleh kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

“Kami dapati terdapat merit dalam rayuan pihak defendan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Mahkamah turut menyatakan kerajaan tidak melanggar Perkara 147 Perlembagaan kerana pesara pra 2013 tidak berada dalam kedudukan lebih buruk berbanding pesara pasca-2013.

Datuk Wong menegaskan dua dokumen penting bertarikh Januari dan Mac 2013 bukan pelarasan gaji, sebaliknya pindaan syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih berkhidmat ketika itu.

“Tiada layanan berbeza antara pesara pra dan pasca-2013 kerana kedua-dua kumpulan tidak menerima pelarasan pencen seperti didakwa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Mahkamah Tinggi terkhilaf dari sudut undang-undang apabila menyatakan wujud diskriminasi dalam keputusan kerajaan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Februari 2023 membenarkan saman 50 veteran ATM yang menuntut pelarasan pencen sama rata, termasuk bagi pesara sebelum 1 Januari 2013.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD