fb fb fb fb fb

Aplikasi MyJalan terima lebih 40,000 aduan dalam dua tahun

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Aplikasi MyJalan merekodkan lebih 40,000 aduan jalan raya di seluruh negara sejak dilancarkan pada Ogos 2023 hingga 31 Julai lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12,459 aduan atau 30.43 peratus melibatkan jalan bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi berkaitan.

Beliau memaklumkan, 11,860 aduan berjaya diselesaikan, manakala 599 kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, bagi jalan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, kementerian lain dan kerajaan negeri pula, lebih 28,000 aduan direkodkan.

“Sebanyak 28,479 aduan atau 69.57 peratus termasuk dalam prinsip ‘No Wrong Door Policy’, iaitu bagi pemilik jalan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta kerajaan negeri.

Jadi, itu bergantung kepada merekalah untuk melaksanakan kerja-kerja dengan segera atau ada sebabnya lewat sedikit,” katanya.

Datuk Seri Alexander berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, aduan yang diterima meliputi pelbagai jenis jalan termasuk jalan bandaran, kampung, pertanian, negeri dan persendirian.

Aplikasi MyJalan merupakan inisiatif KKR bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan kerosakan jalan raya secara terus.

Sekali gus, meningkatkan keselamatan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN