fb fb fb fb fb

JIM Selangor perkukuh kerjasama banteras PATI

Khairrul Aminus Kamaruddin / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 19 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, hubungan baik yang dibina dengan pelbagai agensi bukan sahaja membantu mempercepatkan tindakan semasa operasi, malah memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

"Dulu agensi bekerja secara solo, masing-masing bawa hal sendiri. Tapi sekarang kita sudah ada persefahaman, PBT, MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan lain-lain boleh bekerjasama dengan kita.

"Misalnya, bila PBT buat operasi menutup premis, pegawai imigresen turut serta untuk tindakan lanjut termasuk penahanan pekerja asing tanpa dokumen,” katanya.

Katanya ketika sidang media Majlis Sesi Libat Urus Rakan-Rakan Media bersama JIM Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, bentuk kerjasama seperti itu menunjukkan keberkesanan rangkaian strategik antara agensi kerajaan di Selangor dalam mengekang isu PATI, selain dapat memberi mesej jelas bahawa penguatkuasaan dijalankan secara bersepadu.

Dalam pada itu, JIM Selangor turut memberi fokus mengawal jumlah pekerja asing sedia ada di dalam negara selepas kerajaan memutuskan untuk menghentikan kemasukan golongan itu sejak Mei lalu.

Khairrul Aminus berkata, pihaknya kini menumpukan kepada aspek pemantauan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan oleh pekerja asing.

“Setakat ini, saya difahamkan tiada kemasukan baharu, jumlah sedia ada sudah cukup ramai.

"Oleh itu, JIM, khususnya di Selangor akan melaksanakan elemen mengawal jumlah mereka yang sudah ada di dalam negara menerusi pelbagai operasi berdasarkan risikan dan maklumat daripada orang awam.

“Pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan kebanyakan daripada mereka mempunyai kemasukan yang sah dan tertangkap apabila melakukan pelanggaran peraturan seperti permit kerja,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa JIM Selangor sentiasa terbuka menyalurkan maklumat kepada mana-mana agensi berkaitan, termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenai penempatan atau asrama pekerja asing, serta pihak kedutaan bagi mendapatkan pengesahan pasport.

Selain kawasan perindustrian dan penempatan pekerja asing, Khairrul Aminus berkata operasi turut dijalankan di premis hiburan serta kawasan tumpuan lain yang berisiko tinggi, berdasarkan aduan orang awam dan hasil risikan pihaknya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM