PUTRAJAYA, 19 Ogos – Persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjadi antara agenda utama Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2025 yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama dalam kalangan parti-parti gabungan menjelang PRU DUN berkenaan.
Menurut kenyataan Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada Kajian Separuh Penggal Pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilaksanakan di peringkat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan kepada majlis.
"Mesyuarat sebulat suara bersetuju menilai pencapaian semasa kerajaan, mengambil kira sebarang teguran terhadap pentadbiran serta memberikan perhatian terhadap pemantapan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia dan Perdana Menteri atas kejayaan memeterai perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, sekali gus mengangkat peranan negara di peringkat antarabangsa.
Ketetapan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh kestabilan politik dan kelangsungan agenda pembangunan negara.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 5 petang itu berakhir pada 6.45 petang.
Antara pimpinan utama yang hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Presiden UMNO dan Datuk Seri Fadillah Yusof, merangkap Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.