(Datuk Seri Anwar beramah-mesra dengan orang ramai selepas menunaikan
solat Jumaat di Masjid Putra)
PUTRAJAYA, 25 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempertimbangkan untuk memegang jawatan Menteri Kewangan buat masa ini.
Namun beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata akan melihat semua kemungkinan sebelum membuat keputusan muktamad.
"Kami akan melihat semua kemungkinan tetapi pada masa ini saya tidak mempertimbangkannya (memegang jawatan Menteri Kewangan)," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini.
Ketibaan Perdana Menteri pada pukul 1 tengah hari disambut oleh beberapa jawatankuasa masjid dan jemaah di pintu masuk utama.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra)
Mengulas mengenai hari pertamanya sebagai Perdana Menteri secara rasmi, Anwar berkata: “"Bagus dan sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan.”
Anwar sebelum ini pernah memegang portfolio Menteri Kewangan selama lapan tahun antara 1990 hingga 1998 di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu beliau turut memaklumkan bercadang mengurangkan saiz kabinetnya, selain sedang mendapatkan persetujuan daripada calon menteri untuk mengurangkan gaji mereka.