fb fb fb fb fb

Anwar terus beri tumpuan isu kemanusiaan di Palestin

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto Bernama

CALIFORNIA, 17 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi tumpuan terhadap isu kemanusiaan di Palestin setiap kali berucap pada pentas Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

Menerusi Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Anwar menegaskan konflik yang berlaku di Gaza menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral.

Tambah Perdana Menteri "tindakan rejim zionis membolehkan kemusnahan besar-besaran dan mengakibatkan bencana."

Dialog berkenaan turut disertai semua pemimpin 21 anggota ekonomi APEC.

Anwar membawa isu Palestin di beberapa program termasuk ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti California.

Jelas beliau krisis kemanusiaan di Gaza bukan sahaja menjejaskan Palestin atau Asia Barat  tetapi meninggalkan kesan pada hubungan global untuk beberapa tahun akan datang.

Sebaik sahaja selesai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC, Perdana Menteri turut menyertai mesyuarat kedua Pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik-IPEF.

14 rakan IPEF menyaksikan rundingan bagi perjanjian ekonomi yang bersih dan saksama dimuktamadkan manakala perjanjian rantaian bekalan dimeterai di luar Mesyuarat APEC.

Antara negara tersebut ialah Australia, Brunei, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

IPEF terdiri daripada empat tonggak utama iaitu Perdagangan, Rantaian Bekalan, Tenaga Bersih dan Ekonomi Saksama.

Rundingan perjanjian perdagangan yang diterajui Amerika Syarikat masih belum diputuskan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI