fb fb fb fb fb

UUM konsisten bantu pelajar dari Palestin

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata pemberian bantuan kepada pelajar Palestin dibuat di atas dasar kemanusiaan

SINTOK, 17 November - Pemberian bantuan kepada pelajar Palestin yang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa diperhalusi sesuai dengan keperluan mereka untuk menuntut ilmu.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, pemberian bantuan kepada pelajar Palestin dibuat di atas dasar kemanusiaan disebabkan peperangan yang sering berlaku di negara asal mereka.

Sejak 2017, UUM hanya mengenakan yuran pengajian kepada mereka mengikut kadar yang sama dikenakan terhadap pelajar Malaysia.

Kebiasaannya, kadar yuran pelajar antarabangsa adalah lebih tinggi berbanding pelajar tempata yang mendapat tempat di UUM.

“Manakala, bantuan lain seperti sumbangan komputer dan sebagainya dibuat berdasarkan keperluan semasa pelajar Palestin yang menuntut ilmu di UUM.

"Ketika ini, UUM menerima 64 pelajar dari Palestin yang mengikuti pengajian di dalam pelbagai bidang,” katanya pada sidang media menjelang Majlis Konvokesyen ke-36 yang berlangsung pada 19 hingga 23 November ini.

Pada majlis kali ini, 5,371 merupakan graduan tempatan manakala 349 lagi adalah graduan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Prof. Dr. Mohd Foad berkata, UUM menyokong cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi, (KPT) supaya semua pelajar Palestin yang sedang menuntut di Malaysia dikecualikan daripada yuran pengajian.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan agar yuran pengajian lebih 600 pelajar Palestin dikecualikan bagi tempoh setahun.

Selain pengecualian yuran, KPT juga sedang mempertimbang pemberian elaun bulanan selama setahun kepada pelajar Palestin di universiti awam dan swasta di negara ini.

KPT menyedari akan kesan peperangan terhadap pelajar dari Palestin disebabkan serangan Israel ke atas Gaza yang masih belum reda.

Ini kerana, pasti pelajar Palestin mendapat kesan langsung daripada peperangan itu seperti aspek pembiayaan pengajian daripada keluarga mereka atau penaja yang terjejas.

Hari ini genap 40 hari jenayah perang dilakukan tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Serangan tanpa henti sejak 7 Oktober lalu sudah meragut 11,500 nyawa.

Pejabat media kerajaan Hamas dalam kenyataannya memaklumkan, angka terbaru itu meningkat berbanding 11,320 nyawa terkorban kelmarin.

Berdasarkan maklumat dikongsi, jumlah mangsa yang cedera ringan atau cedera parah turut meningkat kepada 29,800 orang berbanding 29,200 mangsa kelmarin.

GRACE AISYAH KEDAYAN