fb fb fb fb fb

Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar UAE

(Anwar Ibrahim (kanan) dan Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan (kiri) di Parlimen, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di Parlimen, hari ini.

Lawatan Sheikh Abdullah itu bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Ketibaan beliau dan deligasi UAE di Bangunan Persidangan Sementara Parlimen pada pukul 2.40 petang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Pertemuan kira-kira sejam itu tertumpu kepada perbincangan mengenai pelbagai isu meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-UAE serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Lawatan rasmi itu susulan daripada lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada bulan lepas.

UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 73.5% dari RM22.33 bilion kepada RM38.73 bilion berbanding tahun sebelumnya.

(Sheikh Abdullah Zayed Al Nahyan, Anwar Ibrahim dan Dr. Zambry Abdul Kadir)

Media Baharu