fb fb fb fb fb

Anwar jumpa 15 syarikat terkemuka AS, kongsi kerangka Madani

(FOTO RTM)

NEW YORK, 22 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan interaksi bersama-sama 15 syarikat terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang tersenarai dalam Fortune 500.

Antara syarikat-syarikat itu ialah Airbnb, Amazon, AWS, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk menjelaskan Kerangka Ekonomi Madani yang disokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMKe-12.

Ketiga-tiga perkara tersebut akan menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara.

Jelasnya, peranan Majlis dan Dewan Perniagaan seperti US-ASEAN Business Council (USABC) dan United States Chamber of Commerce (USCC) sebagai medium antara Kerajaan dan komuniti perniagaan merupakan pemangkin kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan.

Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar sejak tahun 2015.

Dari segi pelaburan dalam sektor pembuatan, Malaysia menerima pelaburan masuk langsung (FDI) Amerika Syarikat dari Januari hingga Jun 2023 sebanyak RM1.84 bilion

Pelaburan ini telah menyumbang sebanyak 1,558 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi Oktober depan.

Ini bagi memenuhi jemputan ke UAE untuk melakukan lawatan kerja serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk GCC dengan Arab Saudi menjadi Tuan Rumah.

Jelasnya, terdapat minat yang semakin meningkat daripada anggota GCC terhadap ASEAN. 

Menurutnya, UAE dan Arab Saudi mempunyai kerjasama yang lebih kukuh dengan Malaysia.

Memaklumkan perkara itu pada sesi soal jawab di Majlis Invest Malaysia di sini, Datuk Seri Anwar berharap kedua-dua negara itu akan terus meningkatkan pelaburannya di negara ini.

Januari hingga April 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara dicatat meningkat 5.7 peratus, iaitu daripada RM11.25 bilion kepada RM11.89 bilion

Arab Saudi pula merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 dicatat meningkat 159.2 peratus daripada 2021.

Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama 15 wakil syarikat AS
/FOTO RTM)

Media Baharu