SEOUL, 24 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu siri mesyuarat bersama tokoh korporat dan ahli perniagaan dengan syarikat gergasi dikenali sebagai Chaebol di Korea Selatan dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini.
Ia bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, lawatan rasmi tersebut dijangka dapat memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan.
Persefahaman yang akan dimeterai merangkumi pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh inisiatif dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
"Sehingga Oktober 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan adalah sebanyak RM91.1 bilion.
"Namun, jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan RM43.95 bilion pada tahun 2024.
"Jumlah import Malaysia dari Korea Selatan RM47.1 bilion pada tahun 2024," katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di sini.
Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia, manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan dengan jumlah pelaburan RM61 bilion dengan 616 projek.
Jelas Mohd Zamruni, kehadiran Anwar dalam lawatan sulung ke negara itu adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Anwar dijangka tiba pada pukul 10.00 malam ini waktu tempatan.
Semasa lawatan tiga hari ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan di Pejabat Presiden di Yongsan esok.
Anwar akan memberikan ucapan dalam 'Business Forum' yang dijangka dihadiri delegasi perniagaan yang terdiri daripada lebih 180 syarikat di Korea Selatan.
Selain akan ditemu ramah Chosun Ilbo dan TV Chosun, sebuah akhbar serta stesen televisyen berbahasa Korea yang berpengaruh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri akan bertemu dengan Presiden Korea Muslim Federation (KMF), sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagi badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di sini.
Anwar turut dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum khas yang bertajuk 'Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia' di Universiti Kebangsaan Seoul.
BERITA BERKAITAN: